Tuesday, January 13, 2009

Moments before going back...

Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ini genap seminggu pemukiman sementara aku di Malaysia. Kurang 10 jam dari sekarang, aku akan berlepas pulang semula. Tempoh kurang dari 168 jam keberadaan di Malaysia relatifnya singkat jika dibandingkan dengan tempoh perjalanan pergi dan balik yang memakan masa lebih kurang 16 jam. Tetapi tidak mengapa, ada misi yang lebih penting untuk dilaksanakan. Walau singkat tetapi kualiti masa itu lebih berharga.

Ada orang berkata, masa itu ibarat makhluk. Jika dijaga sebaiknya akan dapat sesuatu bermanfaat daripadanya. Albert Einstein pula berkata, jika kita mahu masa lebih daripada 24 jam sehari, kita perlu hidup dalam jet supersonik yang boleh membawa kita dari timur ke barat dalam tempoh yang singkat. Pepatah arab pula berkata, masa itu ibarat pedang. Kalau tidak memotong, maka akan dipotongnya kita.

Apa-apapun yang paling penting, masa tetap memang berharga. Sebagaimana Allah bersumpah dalam surah Al-Asr tentang masa yang menjadi perlembagaan hidup manusia.

Tidaklah aku ingin bercerita tentang masa dikala ini, tetapi tentang apa yang aku rasai kala ini. Tentang perbezaan yang dirasai semasa berada di dua tempat permastautinan yang berbeza.

Alhamdulillah tempat tanah air ku kini semakin hari semakin subur dengan pelbagai bentuk pembangunan. Tidak jauh dari rumahku kini pun telah siap satu lagi lebuhraya untuk kemudahan penggunanya. Baru malam semalam aku melaluinya tatkala ayahku sengaja menggunakan jalan jauh dalam perjalanan pulang dari memakan satay bersama. hehe... Alhamdulillah belum ada lagi pagar tol yang dipasang. Nampaknya semakin naik harga tanah di kawasan ini dengan adanya lebuhraya DUKE (Damansara Ulu Kelang Expressway) dan sebuah lagi pasaraya Jaya Jusco yang baru dibuka berhampiran. Alhamdulillah.. Nak juga orang Jepun melabur di kawasan rumah aku ni ye... heheh

Sejak dari kecil aku telah menetap di sini. Masa dulu semasa zaman sekolah rendah, waktu pagi hendak pergi ke sekolah jalan sentiasa sesak. Rupanya aku tengok ada kerja "construction" di tepi jalan dengan pagar zink melindungi. Terpaksa la aku bertolak awal ke sekolah... Nampak juga banyak kren tertulis HIP HUP yang semasa itu aku berfikir mesti kaya orang yang ada kesemua kren ni kan.. pada masa itu aku berkira jika sewa sehari sebuah kren ialah RM 200.. Semasa di Tingkatan 1 siaplah semua kerja-kerja "construction" dan lalulah tren di atas gelegar-gelegar tiang yang selang 1 ke 3 kilometer pasti ada sebuah stesen. Ada pula 2 stesen tersergam indah berhampiran dengan rumahku iaitu Stesen Setiawangsa dan Stesen Jelatek. Sempat juga aku menggunakan perkhidmatannya selama 2 minggu semasa mula-mula sekolah di Tingkatan Satu di St John Bukit Nanas sebelum berpindah ke asrama di Segambut. Alhamdulillah..

Tidak lama kemudian, ada pula kerja-kerja "construction" di seberang sungai berhampiran rumah. Ku lihat banyak juga tiang-tiang yang dibina. Ooo.. rupa-rupanya sebuah lagi highway akan dibina iaitu MRR2 (Middle Ring Road 2). Tak lama kemudian ada pula kerja-kerja "construction" di tebing Sungai Klang. Ada juga banyak tiang-tiang tinggi yang dibina. Tetapi yang peliknya semuanya berada di atas atau di tebing sungai.. Aku bertanya kepada ayahku, "Abah kenapa dia buat "construction" di atas sungai?". Ayahku menjawab, "Kalau buat di atas sungai, 'dia' hanya perlu mendapatkan kebenaran menggunakan reserve sungai kerana tanah di reserve sungai tidak boleh dijual." Ooo.. aku yakin dengan jawapan ayahku kerana dia memang arif dalam bidang ukur tanah. Rupanya boleh jimatkan modal tetapi macamana pula air sungai di bawahnya? Tidak lama kemudian, siaplah kerja-kerja "construction" dan diberi nama AKLEH (Ampang Kuala Lumpur Express Highway). Jika di Melbourne kawasan tanah berhampiran sungai dibiarkan tanpa ada sebarang pembangunan untuk memelihara sungai.

Semakin banyak pembangunan yang dikecapi dan perubahan fizikal amat jelas ketara sejak 20 tahun yang lalu. Tetapi jika di Melbourne bandarnya tetap segi empat dengan jalur-jalur berserenjang merentasi tengah-tengah kota yang sama sejak 100 tahun yang lalu. Di mana silapnya? Sama-sama kita fikirkan...

Itulah serba sedikit daripada pelbagai jenis pembangunan yang dapat kulihat hingga saat ini. Ada satu lagi perkara aneh yang kulihat sejak dahulu hingga kini. Tetapi perkara ini agak bertentangan dengan kemajuan ke hadapan bentuk fizikal di sekelilingku. Seolah perkara ini "stagnant" malah semakin terkebelakang. Iaitu bilangan jemaah yang hadir untuk solat fardhu berjemaah di surau. Dari dahulu hingga kini jumlahnya tidak berubah. Begitu juga dengan peringkat umur jemaah yang menghadirinya. Rungsing memikirkan "perkara ini", aku mengajak adik-adikku untuk mengimarahkan surau semasa azan berkumandang...

2 hari lepas ada seorang rakan sekolah datang melawat ke rumah. Alhamdulillah masih sihat walafiat dia kini. Aku sempat membincangkan "perkara ini" dengannya. Rupa-rupanya dia pun sependapat denganku. Dia juga menghadapi situasi sama sepertiku tetapi lebih "complicated". Dia memberitahu bahawa masalah "perkara ini" bukanlah masalah di beberapa tempat, malahan berlaku di banyak tempat dan berleluasa. Berpunca daripada "perkara ini" banyak lagi permasalahan boleh terjadi samada kepada individu, masayrakat mahupun negara. Jadi dia mencadangkan 2 solusi untuk adiknya iaitu; sentiasa menjaga solat dan menjaga pergaulan.

Memang ada kebenaran 2 solusi yang beliau cadangkan memandangkan masyarakat kini mengabaikan solat, tidak mengendahkan azan untuk bergegas ke surau-surau atau masjid-masjid. Padahal solat itu adalah tiang agama. Solat fardhu lima waktu secara tidak langsung merupakan benteng daripada terjebaknya diri ke dalam perkara yang lebih tidak berguna.

Hingga saat ini masih ada lebih kurang 5 jam sebelum pesawat dijangka berlepas. Satu harapan dan impian di hatiku iaitu untuk melihat kemajuan pemikiran berasaskan Islam yang seiring dengan pembangunan fizikal yang telah dikecapi.

Wallahua'alam..