Thursday, January 3, 2008
Mengapa semua ini terjadi?
ramai orang sakit, doktor banyak buat duit,
ramai orang rasuah, pemerintah banyak buat duit,
ramai orang kemalangan, mechanic banyak buat duit,
banyak infrastruktur rosak, engineer banyak buat duit,
ramai orang bercerai, peguam syariah banyak buat duit.
Mungkin hukum alam ini yang menampakkan adanya kepentingan materialistik "banyak buat duit" telah menjadikan penghuninya berterusan lali dan enak bergelumang dengan masalah-masalah bak membanggakan peribahasa melayu 'alah bisa tegal biasa'. Entah bila hendak sedar tak tahulah...
Jika tidak dibendung, masalah-masalah ini pada suatu hari nanti pasti akan menjadi suatu wabak yang menular di serata pelusuk bumi tercinta ini tanpa mengira sempadan kawasan, bangsa, status dan umur. Janganlah berfikiran nafsi-nafsi, kerana suatu hari nanti nafsi itu tidak bawa kita kemana yang akhirnya nafsi itu yang menjemput masalah. Lebih baik berfikiran jama'i, kerana jama'i itu membawa kepada kesepakatan dan kekuatan yang akhirnya dapat menyelesaikan masalah... insyaAllah...
Jika pihak polis dijadikan pengantara menyelesaikan masalah, masih banyak lagi masalah semirip dengannya terjadi di tempat lain pada waktu lain. Sehinggakan para pemerintah seolah-olah pening kepala memikirkan suatu formula atau sistem untuk membendungnya yang sehingga kini terbukti masih tidak ada. Mengapa? Mengapa semua ini terjadi?
Jika diselidiki mengapa segelintir penghuni di bumi tercinta ini sanggup mengadakan masalah adalah mereka tidak mempunyai tujuan hidup yang jelas dan hakiki serta tidak didokong oleh keimanan mantap disebabkan kejahilan. Mengapa jahil ?? Umat Islam merangkumi kira-kira 60 peratus penghuni di bumi tercinta ini meminta daripada yang Maha Esa sebanyak 17 kali setiap hari agar ditunjukkan jalan yang lurus [1:6] dan Allah segera menjawab permintaan itu dengan berfirman :
Kitab (Al-Qur'an) ini tidak ada keraguan dalamnya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. [2:2].
Pesan Nabi saw:: Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku (al-Hadis)
Itulah jawapannya... jawapan yang telah tersedia tetapi memerlukan usaha pentarbiahan berterusan bagi menyemai keimanan mantap diikuti amalan dengan apa yang diimani. Suatu proses yang memerlukakan pengorbanan pelbagai bentuk bermula dengan pembentukan individu-individu muslim sejati, keluarga muslim sejati, masyarakat muslim sejati seterusnya negara muslim sejati. insyaAllah...
wallahua'lam...
Thursday, December 13, 2007
Pengembaraan 10 hari ladang cheri Old Oak
Kutersenyum keseorangan sambil melihat sekotak cheri fresh pemberian pengurus ladang, Mr.Gavin dikala dia juga mengetahui aku akan pulang ke
Ku mengharap agar setiap detik masa, wang, keringat,pemikiran dan perasaan kehidupanku sepanjang setahun lepas di bumi
Ku bersyukur kepada Allah kerana memberikan petunjuk dan kemudahan dalam mengharungi setiap detik kehidupan ini. Yang menunjukkan dan membimbingku ke arah jalan mengenal kebenaran yang hakiki. dan ku percaya setiap detik yang berlalu itu pasti ada hikmahnya yang tersembunyi yang memerlukan kesabaran, renungan tajam dan fikiran mendalam untuk mengorek rahsia hikmahnya. Kadangkala sukar untuk disampaikan kesemuanya kepada orang tentang apa hikmahnya di hati, tetapi diri sendiri lebih banyak mengetahui. Hikmah pengajaran ini mempunyai suatu kuasa pendorong untuk diriku sentiasa tetap dalam mengharungi kehidupan ini di atas landasan yang benar.
Diriku hanyalah insan biasa. Kudibesarkan di sebuah rumah flat kecil 2 bilik. Semasa kecil, ayahku sentiasa mengambil berat tentang kehidupan seharianku. Benda yang paling kukagumi ialah ayahku akan sentiasa berada di ruang tamu rumah bersiap sedia menungguku selesai mandi selepas bermandian peluh bermain pada setiap petang. Setiap hari rutinnya begitu. Dia mengajarku membaca al-Quran seawal diriku 5 tahun dan alhamdulillah pabila umurku 6 tahun sebelum melangkah ke darjah satu aku telah berjaya mengkhatamkan seluruh al-Quran. Dan ianya berterusan sehinggalah ke darjah 3. Memasuki darjah 5, ayahku menjadi agak sibuk dengan tugasan-tugasan luaran yang diperolehi. Ayahku terpaksa mengambil tugasan-tugasan luar untuk menyara keluarga yang ketika itu tidak cukup dengan hanya mengharapkan pendapatan tetap dari kerajaan. Ku juga telah berjinak-jinak dalam bidang ukur tanah kerana selalu mengikut ayahku pergi keluar ke tempat-tempat tersembunyi sekitar
Setakat kini, apa yang pasti ku berasa puas dengan kesudahan setahunku berada di bumi
Sunday, October 21, 2007
THE SCHOLARS SAY: memorize the Qur’an before anything else!
“I heard my grandfather say: I asked my father for permission to study under Qutaybah so he said: “First learn the Qur‘an and then I will give you permission.” So I memorised the Qur‘an by heart. So he said to me: “Remain until you have led the people in prayer with it (i.e for Taraweeh Prayer).” So I did so, then after the ‘Eed he gave me permission, so I left for Marw.” [2]
“So the first thing he should begin with is memorisation of the mighty Qur‘an, which is the most important branches of knowledge. And the Salaf did not use to teach Hadeeth or Fiqh, except to one who memorised the Qur‘an. So when he has memorised it, then let him beware of pre-occupying himself from it with Hadeeth, Fiqh or other things, to the extent that it leads him to forget anything of the Qur‘an, or makes that likely.” [3]
1. -Shaykh ul-Islam Ibn Taymiyyah, al-Fatawaa al-Kubraa (2/54-55)
2. -Muhammad Ibn al-Fadl, reported by adh-Dhahabi in Tadhkirat ul-Huffadh (2/722)
3. al-Imam an-Nawawi, from the introduction to al-Majmoo’ Sharh ul-Muhadhhab (1/38)
Saturday, October 20, 2007
Secebis kegembiraan..
Hari ini jauh berjalan mengharungi perjalanan selama kira-kira satu jam ke Geelong untuk menghadiri satu jamuan aidilfitri anjuran sekumpulan pemuda yang hati-hati mereka sentiasa bertaut untuk sentiasa merapatkan ukhwah. Sesampai saja disana kami disambut dengan sambutan mesra, senyuman manis dan pelukan erat melambangkan syiar sunnah Nabi Muhammad s.aw ketika bertemu dengan para sahabat. Di situ juga kelihatan kelibat 2 orang saudara bukan Islam yang sedang rancak berbual mesra dengan rakan-rakan sambil menikmati hidangan. Pada pandanganku suasana sebeginilah yang sepatutnya diwujudkan dalam masyarakat Islam di Malaysia dimana kei'zahan Islam itu turut dikongsi oleh orang bukan Islam. Tetapi hal ini hanya kutemui setelah berada jauh di perantauan. Alhamdulillah..
Pelbagai juadah disajikan yang sememangnya menyelerakan seperti mee hun sup, soto, burgerdil dan ramuan-ramuannya, ayam bbq dan juga air oren yang melegakan. (Sememangnya suatu kerugian kepada sesiapa yang tidak berkesempatan untuk memenuhi jemputan ini). Hidangan lengkap ini sudah cukup untuk melambangkan sikap ithar tuan rumah kepada tetamu-tetamu yang hadir. MasyaAllah..
Sememangnya perkumpulan seperti ini dapat merapatkan hubungan silaturrahim(ukhwah) jika didasarkan pada akidah yang satu iaitu kerana Allah s.w.t. Tambahan pula berada ditengah-tengah keadaan sekeliling yang tidak membantu ke arah kewujudan suasana Islam. Semoga kegembiraan dan keseronokan daripada perkumpulan ini sentiasa dinaungi kerahmatan dan keberkatan Illahi. Tetapi agak malang terdapat juga perkumpulan lain yang sentiasa hendak dihiasi dengan perkara yang bertentangan dengan Islam semata-mata hendak mendapatkan secebis kegembiraan. Seolah-olah tanpa adanya perkara yang bertentangan dengan Islam itu, secebis kegembiraan itu adalah mustahil untuk dicapai. Mengapakah wujud persepsi sedemikian di dalam pemikiran pemuda-pemudi Islam di zaman ini? Apakah tidak ada keadilan oleh Allah dengan hanya memberikan kegembiraan kepada perkara yang bertentangan dengan apa yang diperintahkan olehNya?
Tidak logik jika dikatakan Allah bersifat tidak adil kepada hambanya. Sebabnya mungkin, masih tersarang penyakit hati yang berkait rapat dengan keimanan kepada Allah s.w.t. yang dapat diperbetulkan dengan pengorbanan dan ketakwaan. Mungkin juga kerana kekurangan ilmu menyebabkan tidak tahu arah jalan yang sebenar yang dapat diubat dengan selalunya menghadiri majlis ilmu dan mendampingi orang-orang soleh. Mungkin juga kerana kesombongan dan ego dalam diri yang hanya dapat dihapuskan oleh diri sendiri.
Maka, fikir-fikirkanlah sejenak jalan manakah yang hendak dipilih. Jalan lurus kepada Allah telah jelas tersedia, hanya menunggu diri sendiri saja samada untuk menggarapnya atau membiarkannya dan hanyut dalam secebis kegembiraan yang sementara...
Sunday, September 30, 2007
Puasa tidak boleh berpisah dari dalil sunah
TIADA siapa pun yang beriman dapat menafikan bahawa pengamalan agama ini hendaklah berteraskan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda adalah tempat rujukan tanpa sebarang pertikaian mengenai hakikat Islam dan cara ibadah dalam Islam.
Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi maka ia tidak diterima.
Penolakan terhadap sunah Rasulullah berlaku dalam dua bentuk; pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadis. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah.
Kelompok kedua mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadis yang tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadis berkenaan sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadis tersebut. Bukan kerana mereka tidak tahu hadis adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian lama.
Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam al-Syafii yang melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari ketaksuban pendapat. Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah s.a.w. maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Al-Zahabi, Siyar A’ lam al-Nubala. 10/34). Kata seorang rawi hadis yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari al-Syafii meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263). Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).
Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama. Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.
Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.
Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-
kala kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang menjadi kebiasaan orang Nusantara. Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’ yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana tertinggal telekungnya.
Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?! Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadis; Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir (riwayat al-Bukhari). Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadis di atas.
Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya. Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya: Dalam hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan.
Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: “Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr). Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.
Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis. Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik. Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis. Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih). Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air… Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah).
Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh. Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam (surah al-Baqarah: 187). Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh). Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam hadis ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya. Baginda bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal. Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan kepadanya: Ini hadis bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.
Dalam hadis disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain baginda bersabda: Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tujuan hadis ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya petunjuk Nabi bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis- hadis tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).
Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti. Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan. Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan al-sunah.
- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
-utusan malaysia-bicara agama : 30 September 2007/18 Ramadhan 1428H
Saturday, September 22, 2007
Dimanakah rakan-rakanku??
Pening kepala hari ini untuk memikirkan menu untuk berbuka puasa. Ditambah pula dengan kemalasan untuk memasak dan tiada siapa dirumah untuk berbuka bersama. Tiba-tiba terdengar suatu berita ada iftar free di Malaysian Hall. Seolah-olah orang yang mengantuk disorongkan bantal, terus untuk menerima jemputan rakan. Belum pernah lagi menjejakkan kaki disana sejak tiba dari Malaysia dan perasaan "excited" itu sedikit terasa. Agak ramai juga kelibat orang Melayu yang hadir disana.
Selepas solat Maghrib dan makan memang tidak berniat untuk menunggu lebih lama disitu kerana ingin mengejar sembahyang terawih di Musolla Frank Tate. Kehadiran Ramadhan di bumi Melbourne sungguh bermakna bagi diri ini kerana sembahyang tarawih disini diimamkan oleh seorang Hafiz. Sebelum ini pun di Malaysia memang susah ingin berjumpa dengan masjid yang diimamkan oleh seorang Hafiz. Tidak silap di masjid negara pun diimport Hafiz dari luar. Tetapi ramadhan disini memang bagai suatu rahmat apabila seorang Hafiz sanggup datang dari jauh ke tempat berhampiran dengan tempat tinggal kita.
Suatu pengorbanan yang dilakukan oleh beliau kerana menyedari bahawa Musolla Frank Tate ini kebanyakan dihuni oleh pemuda-pemuda Islam yang gagah perkasa. Tidak bisa pemuda-pemuda yang gagah bakal merungut jika disuruh berdiri selama satu jam. Tetapi malangnya, suasana seperti yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. dan semakin hari bilangan pemuda-pemuda yang menghadirkan diri semakin berkurangan. Kemanakah perginya mereka semua?? dan saya tadi dihantar mesej oleh seorang rakan yang mengatakan:
"Tolong ajak orang rakan lain datang Frank Tate. Sikit sangat ni. Kesian imam tu nanti."
Terdetik dihati ini untuk membuat perbandingan bilangan pemuda yang menghadiri jamuan iftar di Malaysian Hall tadi dengan bilangan pemuda yang menghadiri solat terawih di Frank Tate. Agaknya adalah dalam 7 kali ganda bezanya. Aduss...
Dimanakah pertimbangan kita untuk berdampingan dengan seorang Hafiz yang dijanjikan syurga oleh Allah dan diberi 10 lagi tiket percuma untuk membawa ahli keluarga ke syurga??
Jadi, tatkala bulan yang berkat ini marilah kita sama-sama melipat-gandakan amalan kita kepada Allah kerana kita tahu ganjaran setiap amalan wajib akan digandakan 70 kali ganda dan amalan sunat adalah sama dengan amalan wajib. Marilah kita bermujahadah terhadap diri sendiri untuk mengurangkan percakapan dan menumpukan lebih perhatian kepada ibadah. Hadirkan sama hati ketika melakukan ibadah terutamanya ketika solat kerana ia dapat membentuk jiwa yang betul-betul ikhlas kepada Allah. InsyaAllah..
Mari ramai-ramai ke Frank Tate...
Friday, September 21, 2007
Kepentingan Al-Quran dan As-Sunnah
Pelbagai ragam manusia telah dilihat sepanjang mendiami bumi Melbourne yang usianya kini menjangkau 7 bulan. Mungkin kerana berasal dari latar belakang keluarga,pendidikan, kebolehan, pendedahan sosial, pemikiran dan perasaan yang berbeza. dan mungkin juga kebiasaan kehidupan seharian yang berbeza membuatkan ramai orang berbeza antara satu sama lain. Ada yang memiliki kelebihan memasak, menyanyi, menulis, menghafal, mereka bentuk dan bermain bola dan pelbagai lagi. Kepelbagaian ini juga merupakan suatu rahmat daripada Illahi kerana ianya mungkin tidak dapat dirasakan jika masih berada di Malaysia. Setidak-tidak pun boleh diambil apa yang baik sebagai pengajaran dan diamalkan daripada setiap individu yang berbeza.
Tetapi, persoalan besar yang masih membelenggu pemikiran adalah mana satu jalan terbaik untuk diikuti dalam mengharungi kehidupan ini? Adakalanya jika berada dikalangan suatu kelompok orang, diriku sering untuk hanyut didalam suasana kebiasaan kelompok tersebut kerana asyik terpesona dengan suatu kelebihan yang dimiliki kelompok tersebut. dan begitu juga jika berada dalam suatu kelompok orang yang lain. Seolah-olah diri ini tidak mempunyai suatu pendirian yang tetap.
Perbezaan ini menjadi suatu permasalahan yang besar terutamanya dikalangan umat Islam. Dasar kepada agama Islam adalah Akidah Islamiah dimana setiap orang Islam wajib mempercayai kepada kalimat "Tiada tuhan yang disembahkan melainkan Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah". dan wajib untuk mengimani setiap daripada rukun iman dan islam. Rukun Iman terdiri daripada 6 perkara iaitu mengimani kepada Allah, malaikat, rasul, kitab, hari kiamat dan qada' dan qadar. Keimanan terhadap 6 perkara ini menjadi asas dan pembimbing dalam mengharungi kehidupan ini.
Jika diteliti sirah Nabi Muhammad S.A.W, nabi memulakan dakwah dengan menyemai akidah islamiah yang mantap dalam diri para sahabat. dan proses ini bukan suatu proses yang mudah dan mengambil masa selama 13 tahun semasa nabi berdakwah di kota Mekah. Keimanan terhadap setiap ayat al-Quran yang diturunkan menjadi penyelesai kepada setiap permasalahan yang berlaku. Mengambil contoh peristiwa ketika Rasulullah meminta pendapat Abu Bakar dan Umar terhadap cara menghukum tahanan perang Badar. Terdapat perbezaan pendapat antara kedua sahabat iaitu Umar mengusulkan agar semua tawanan dibunuh, sedang Abu Bakar mengusulkan agar semua mereka membayar tebusan dan Rasullullah menyokong usul Abu Bakar. Maka, turun wahyu yang menguatkan usul Umar dan mencela apa yang dilakukan Rasullullah, sepertimana firman Allah dalam Surah al-Anfal : 67.
Mengambil pengajaran daripada peristiwa di atas umat Islam kini telah dibekalkan dengan sumber pembimbing utama dalam kehidupan iaitu Al-Quran dan as-Sunnah. Tidak perlu lagi bersusah payah membaca buku motivasi dan kata-kata perangsang kerana di dalam Al-Quran terdapat pelbagai sumber pembimbing kehidupan. Kepercayaan yang utuh terhadap setiap janji-janji Allah didalam al-Quran akan membawa ke jalan yang benar. Kemenangan dan kenikmatan yang kekal abadi adalah kemenangan mendapat syurga Allah kerana "dunia ini tidak lebih seperti permainan dan senda gurau"(47:36).
Maka, janganlah kita jadikan perbezaan dikalangan kita sebagai sebab untuk kita tidak bertegur sapa. Kerana setiap orang mempunyai kelebihan yang tersendiri. Jika terdapat suatu yang bertentangan dengan apa yang ditetapkan didalam al-Quran dan as-Sunnah hendaklah kita nasihati dan jika mereka enggan biarkanlah sahaja. tetapi didalam hati masih tetap tidak suka terhadap perkara tersebut. dan jadikan setiap kelebihan unik yang ada dalam setiap umat Islam dapat menyumbang terhadap kemaslahatan umat Islam secara keseluruhannya.





