Wednesday, January 16, 2008

Azam 2008

Bismillahirrahmanirrahim.. Telah dua malam kuberhajat untuk menulis entry ini tetapi apakan daya ketentuan Allah hanya mengizinkanku menulisnya pada malam ini. Banyak perkara berlegar-legar dalam pemikiranku ketika ini yang sedikit sebanyak mempengaruhi emosi dan perasaanku. Kumerasakan penulisan ini penting untuk menyusun dengan lebih sistematik segala yang kufikirkan masa kini agar ianya tersemat rapi untuk tatapan masa hadapan.

Kadang-kala ku merasakan cita-citaku terlalu menggunung tinggi, seolah benda-benda di lembah ku biarkannya terlepas pandang. Apakahku benar-benar berada di landasan yang betul dalam mengejar cita-citaku? Mengikut logik akal, benda yang menggunung tinggi tidak akan terbina jika asas-asasnya tidak kukuh. Inilah yang ku rasakan saat ini membuatkanku merasa sedikit tertekan. Satu persatu perkara yang mengguris hatiku berlaku. Ianya tidak berlaku jauh di luar sana tapi terjadi dalam keluargaku sendiri.

Pertamanya, televisyen. Rancangan-rancangan yang dipaparkan masa kini tiada satu pun yang benar-benar dapat mendidik jiwa masyarakat (khususnya ahli keluargaku) supaya lebih mendekati dan memahami Islam. Kebanyakannnya hanya memaparkan kisah-kisah cinta yang mempertontonkan aurat wanita yang menggelapkan hati setiap orang yang melihatnya. Hinggakan untuk melihat berita utama pun dihidangkan dengan wanita yang tidak menutup aurat. Apatah lagi isi kandungan berita penuh penyelewengan semata-mata ingin mempengaruhi pemikiran dan mengaburi mata masyarakat. Tatkala itu ku berfikir akan dosa besar yang menimpa orang-orang yang menaburkan kebohongan dan fitnah mengingatkanku akan ayat Allah dalam surah al-Qalam ayat 8-15. Nauzubillah... Selain itu, berbagai-bagai jahiliyah zaman moden dipertontonkan seperti filem-filem barat, filem-filem dari seberang, filem-filem luar negara, filem-filem melayu klasik dan pelbagai rancangan-rancangan hiburan yang meniupkan bisikan-bisikan syaitan ke dalam dada masyarakat (khususnya ahli keluargaku) supaya terikut-ikut dengan apa yang dipertontonkan. Apakah tidak terlintas di pemikiran masyarakat dan pemerintah bahawa ini merupakan ibu punca kebanyakan masalah yang berlaku masa kini?? Kuteringat suatu peringatan yang disampaikan oleh seorang senior yang juga pelajar terbaik semasa di sekolah menengah atas dulu yang mengatakan Taghut akhir zaman telah menyelinap di setiap rumah orang-orang Islam yang banyak menyebarkan keburukan dan kemudharatan. Bila difikirkan kembali baru kini kumemahami hakikat kebenaran kenyataan tersebut. Ingin saja ku mencabut salah satu komponen dalam televisyen di rumahku. Tetapi ini mungkin suatu ujian dari Allah untuk menguji sejauh mana kesabaranku dalam mencegah ahli keluargaku dari terpengaruh dengan segala unsur-unsur jahiliyah zaman moden kini. Ku sentiasa menasihati dua orang adikku supaya tidak selalu menonton televisyen kerana ilmu tidak akan masuk ke dada orang yang membuat dosa. Tambahan pula mereka berdua masing-masing akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM pada tahun ini.

Keduanya, sikap abangku. Mungkin sikap abangku mewakili sikap kebanyakan para remaja masa kini. Sejak dari siang hari keluar rumah katanya ke KLCC hingga ke larut malam baru pulang. Kemudian tiba-tiba dia mengambil duit dari dompetku dan hanya memintanya setelah mengambilnya kemudian terus keluar kembali katanya hendak balik ke rumah di Shah Alam. Telah banyak kali kubertolak ansur dengannya tetapi kali ini menjadi peluang keemasan untukku berleter panjang dengan harapan memberi keinsafan kepadanya. Leteran panjangku bukan untuk mendapatkan kembali wangku tetapi yang lebih penting agar dia sedar dan insaf dengan keadaan dirinya sendiri. Tetapi akhirnya, mungkin leteranku semalam terkena edikit dalam hatinya membuatkan dia sanggup pulang ke rumahdari Shah Alam semata ingin membayar kembali hutangku. Aku menerimanya kembali dengan senyuman dan Alhamdulillah…

Ketiganya, setelah mendengar suatu tazkirah yang mengatakan umat Islam seharusnya menjadi kaya dan mesti bekerja sendiri tanpa makan makan gaji untuk mendapatkan kekayaan. Ketika itu, ku menilai semula diri ini adakah layak bergelar seorang jutawan suatu hari nanti ?

Pada pandanganku tidak susah untuk jadi kaya tetapi untuk mencari keberkatan dalam menjadi kaya adalah suatu yang susah. Memang dari kecil lagi menyimpan impian hendak menjadi kaya. Sejak bermula masuk ke alam persekolahan darjah 1 emak telah mengajarku untuk menabung dan setiap hari duit belanja yang ayahku berikan akan ku simpan dalam tabung. Dan cukup bulan akan disimpan di bank simpanan nasional(xtau ada lagi x bank ni skrg). Kadang-kala mak ku akan menambah sedikit. Musim hari raya simpanan bulanan pasti akan menjadi berlipat kali ganda. Pernah suatu ketika semasa di darjah tiga simpanan mencecah RM 3ribu . Tidak pernah ku keluarkan simpanan dalam bank sehingga darjah 5, pada ketika itu mak ingin membuat pembesaran rumah dan tidak cukup duit dan terpaksa mengorbankan duit simpananku sebagai gantinya. Sejak hari itu simpanan ku tidak pernah mencapai sebanyak mana yang pernah ku capai sebelumnya.

Di waktu persekolahan menengah, segala usahaku untuk berjaya adalah didorong oleh semangat ayahku. Niat utamaku semasa belajar di sekolah menengah hanya untuk berjaya dan dapat membalas jasa ayahku. Menjelang musim peperiksaan terutama PMR dan SPM kuselalu teringatkan kesusahan dan kepayahan yang dilalui ayahku dalam mencari sesuap nasi. Ingatan inilah seolah-olah menjadi dendam dalam diriku untuk berusaha dalam diriku untuk berjaya. Kerana ku melihat ayahku begitu gigih berusaha setiap hari tanpa ada cuti, kadang-kala siang dan malam semata-mata untuk menyara kehidupan kami sekeluarga. Jika melihat reality sebenar bekerja sebagai seorang jurukur tanah, orang yang mendapat sesuatu projek iaitu orang atas kepada ayahku akan mendapat habuan yang besar dan ayahku hanya mendapat hanya bahagian yang kecil. Sedangkan yang teruk bekerja ialah ayahku sedangkan yang diatas hanya perlu sign dan menanti bayaran. Tetapi bapaku seorang yang sentiasa bersyukur. Dan dikala itu aku berfikir bagaimana untuk membalas jasa bapaku ini? Setiap kali waktu cuti persekolahan pasti aku akan menawarkan diri untuk ikut bersama membantunya bekerja. Tetapi bantuan yang dapat ku hulurkan ketika itu setakat mana sangat semasa badan masih kecil. Ku mencari jalan lain, selepas PMR aku mendengar rakan-rakanku dapat mejadi sukarelawan di Pusat Sains Negara dan dibayar gaji. Aku bersama beberapa rakan-rakan lain turut serta. Dan aku menerima gaji dalam bentuk cek ketika awal bulan februari semasa di tingkatan 4. Duit gaji inilah yang kugunakan untuk membayar segala bayaran persekolahan untuk untuk melanjtkan pelajaran ke tingkatan 4. Alhamdulillah.. aku berbangga dengan diri sendiri ketika itu kerana dapat membayar yuran sekolah sendiri dan meringankan beban ayahku. Perkara sama juga berlaku ketika cuti hujung tahun selepas SPM. Pernah ku bekerja di restoran Burger King di KLCC selama 4 bulan. Disitu kupernah ditengking dan dipaksa supaya melakukan kerja dengan pantas untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang tak putus-putus. Selama 4 bulan kudipaksa untuk membuat burger dengan cepat, menyelsaikan transaksi pembayaran dengan cepat dan segala kerja denga cepat. Kadangkala hendak kubaling saja burger ke muka supervisorku. Setelah 4 bulan l kumendapat tahu ada pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih lumayan di Mandarin Oriental Hotel. Ku segera berpindah. Kemudian lebih lumayan lagi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Seperti biasa jika terdapat hari bayarannya RM 7 sejam pasti akanku ambil “overtime” sampai bekerja selama 16 jam sehari. Ketika bekerja di sana ku dapat melihat realiti sebenar perangai golongan melayu kelas atasan, perangai remaja-remaja masa kini, perangai pekerja-pekerja asing, perangai orang-orang yang bekerja di sector perhotelan dan perangai orang-orang cina di Malaysia. Mengambil sedikit contoh, hanya beberapa orang sahaja yang berada di ballroom itu yang solat Maghrib. Kumencuba sedaya-upaya untuk mengelak segala apa yang haram. Pernah juga terdetik di pemikiranku ketika itu, bagaimanakah cara jika setiap majlis yang diadakan dapat ditukar berlandaskan syariat Islam?

Mungkin ketika itu, aku tidak berfikiran begitu rasional sehingga benda yang jelas haram tetapi masih lagi aku ingin menjejakkan kaki ke dalamnya. Jika difikirkan kembali mengapa ku sanggup menerima tawaran bekerja di sana ? Itu semua atas desakan hawa nafsu untuk mendapatkan duit. Perkara yang berlalu tetap berlalu. Hikmah disebaliknya tidak ku tahu dan tidak mahu kutahu. Biarkanlah ia terus luput dari ingatanku.

Kini ku berada di realiti tahun 2008. Segala pengalaman lampau yang baik akan kujadikan iktibar buat masa hadapan dan yang buruk itu dicampakkan jauh dari ingatan.

Azam tahun 2008 ku :

  1. Menghafal dan memahami setiap isi kandungan al-Quran juz 29 dan 30 supaya lancar setiap kali mendengarnya.

Kumerasakan ini penting kerana ayat-ayat juz 29 dan 30 banyak memberi peringatan tentang ganjaran-ganjaran dan azab-azab di hari akhirat. Pabila membacanya ketika solat terutamanya sewaktu qiamullail dapat menambahkan rasa khusyu’ dan keghairahan untuk mengamalkannya. Pernah juga kumendengar suatu hadis yang mengatakan ganjaran orang membaca ayat al-Quran dalam solat adalah berlipat kali ganda jika dibandingkan dibaca di luar solat. Satu hadis nabi riwayat muslim juga mengatakan al-Quran itu akan datang pada hari akhirat kelak sebagai syafaat bagi sesiapa yang memilikinya. Setiap kali membaca ayat-ayat ini juga dapat memberikan keinsafan pada diriku yang kadangkala lupa dan lalai. Dengan sentiasa menghafal ayat-ayat ini, diriku sentiasa untuk mendekati dan mengingati Allah di masa kelapangan. Dengan hafalan dan pemahaman setiap isi kandungan ayat-ayat ini, dapat kusampaikan kepada orang-orang lain sebagai peringatan dan pengajaran. Hafalan ini juga dapat merangsangkan lagi daya pemikiran dan ingatanku yang juga dapat digunakan untuk mengingati segala fakta-fakta yang kupelajari di universiti. Apa yang penting sekali adalah niat ikhlas kerana Allah tanpa mengharapkan apa-apa sanjungan atau keuntungan peribadi dan duniawi kerana resipi inilah yang akan menjamin agar terhindar dari segala bisikan syaitan. insyaAllah…

Kumerasakan sasaran ini realistic kerana sebelum ini sewaktu belajar di persediaan ku telah berjaya menghafal juz 30 tetapi kerana tidak disusuli dengan usaha yang berterusan ianya semakin luput dalam ingatan. Hampir semua surah dalam Juz 29 juga pernahku hafal ketika tahun pertama di universiti tetapi perkara yang sama terjadi. Jadi, semoga setiap detik yang berlalu dalam 2008 kuusahakan untuk memahat baik-baik dalam ingatan segala isi kandungan juz 29 dan 30 agar ianya sentiasa berkekalan hingga ke akhir hayat. insyaAllah…

  1. Bersama-sama berusaha meningkatkan lagi usaha-usaha dakwah dan tarbiah di bumi Melbourne agar kerahmatan Islam dapat dirasai oleh sesiapa yang menerimanya. Akan kukerah segala tenaga dan kebolehan demi dakwah ini.
  2. Mendapat H1 dalam kedua-dua peperiksaan semester. Berbekalkan semangat “Islam itu tinggi dan tiada apa yang lebih tinggi daripadanya”, ku yakin pelajar Islam sepatutnya mampu untuk menjadi yang terbaik di kalagan pelajar-pelajar lain khususnya yang bukan Islam. Kecemerlangan dalam peperiksaan juga bagiku merupakan satu cara dakwah iaitu dakwah bilhal dengan menjadi contoh terbaik dikalangan pelajar-pelajar lain. Berdasarkan pengalaman 2 semester yang lepas, kudapat memahami serba sedikit system pembelajaran di universiti khususnya bidang perubatan. Setiap pelajaran telah ada tujuan dan objektif yang perlu pelajar kuasai. Setiap pelajaran juga telah disusun dengan sistematik bermula dengan asas-asas ang perlu pelajar kuasai sebelum menghadapi pelajaran-pelajaran yang lebih kompleks. Hal ini sebenarnya telah menyenangkan pelajar untuk hanya mengikuti dengan tekun apa sahaja yang diajarkan semasa lecture, tutorial dan practical. Ini juga membuatkan hatiku rasa suka dan gembira untuk mengetahui lebih mendalam setiap benda yang dipelajari. Daripada pengalaman lalu juga ku mengetahui kelemahanku iaitu tidak begitu ‘detail’dan sentiasa hendak cepat dalam mempelajari sesuatu yang baru. Dan akibatnya dalam peperiksaan hal-hal begini membuatkanku hilang arah. Dan satu lagi persediaanku sebelum peperiksaan tidak setimpal dengan keputusan yang kuidam-idamkan. Ini kerana bidang yang kupelajari ini menuntut kepada ketangkasan minda mengingat dan mengolah, kesabaran, kerajinan, keprihatinan, ketelitian dan kesediaan. Jika kesemua unsur-unsur ini dapat dikuasai insyaAllah H1 pasti dalam genggaman.
  1. Mengkaji dengan lebih mendalam sejarah Nabi Muhammad S.A.W dan sejarah Islam. Dengan mengetahui hikmah disebalik setiap yang berlaku dalam sejarah Rasulullah dan sejarah Islam, dapat dibuat pengajaran sebagai panduan dalam merencana sesuatu di masa hadapan. Dengan membaca sejarah juga dapat membangkitkan lagi semangat untuk sentiasa berjuang mengembalikan semula kegemilangan Islam.
  1. Memantapkan lagi penguasaan bahasa inggeris melalui lebih banyak berkomunikasi dengan pelajar-pelajar tempatan dan antarabangsa lain.
  1. Menyimpan sekurang-kurangnya 200 dollar pada setiap bulan.
  1. Untuk terus menulis apa sahaja yang kufikirkan dan kurasakan pada situasi semasa.

Tetapi satu perkara yang kadang-kala menghantui pemikiranku ialah perlukah aku berkahwin di usia 21-an pada 2008 ini?

Jawapan yang ikhlas dari diriku ialah tidak. Bagiku banyak lagi persediaan-persediaan yang perlu kulakukan sebelum melangkah ke alam lain. Pertamanya, kumasih belum cukup matang dan berpengalaman dalam menghadapi bidang yang sedang kupelajari kini. Tempoh setahun yang lalu belum cukup untuk mengukur sejauh mana kesenangan dan kesusahan bidang ini. Keduanya, tanggungjawab terhadap ibu bapaku. Kumerasakan belum cukup pembalasan yang kuberikan kepada kedua ibu bapaku dan dapat merasakan perasaan yang begitu mendalam mereka kepadaku sepanjang 10 bulan ketiadaanku apatah lagi jika aku telah berkahwin.

Walaupun kumenyedari kelebihan-kelebihan orang-orang yang telah berumah tangga, tetapi biarkanlah ia ditangguhkan dahulu dan apa yang pasti bukan pada tahun 2008. Tidak perlu untuk mencari-cari kerana orang kata jodoh di tangan tuhan. Ku juga meyakini firman Allah dalam surah an-Nisa’: 26 :

…laki-laki yang baik adalah untuk perempuan-perempuan yang baik…

Jadi perlulah diriku sendiri menjadi seorang lelaki yang baik dan soleh untuk mendapat perempuan yang baik dan soehah. Tidak perlu untuk menjalinkan perhubungan terlarang, jika benar-benar yakin dengan kebenaran ayat ini.

Allah juga berfirman : Jangan mendekati zina. Peringatan yang mudah dan simple dari Allah supaya menjauhkan diri dari segala perbuatan yang boleh membawa kepada zina. Pendek kata membataskan pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam semua aspek secara total.

Allah juga berfirman : Surah An-Nur :30 tundukkan pandangan

Allah juga mengajar cara berkomunikasi dalam surah Al-Ahzab : 53

Jangan sekali-kali kalian masuk masuk ke (tempat) wanita Maka berkata seorang dari Ansar : Bagaimana pendapatmu kalau perempuan itu ipar (saudara isteri)? Maka beliau S.A.W menjawab : Ipar adalah maut (riwayat bukhari dan muslim)

Dan Allah juga mengatakan orang-orang mu’min yang beruntung adalah mereka yang menjaga kemaluannya. Al-Mu’minun :5-7

Dan ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah mempersiapkan kenikmatan-kenikmatan dan kelazatan-kelazatan disisi-Nya yang jauh lebih baik dan lebih kekal untuk orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Allah serta menjauhi dosa-dosa besar dan fahisyah.

Selalu mengisi masa dengan aktiviti-aktiviti berfaedah terutamanya aktiviti yang dapat memberi keuntungan di dunia dan akhirat.

Wallahua'lam...

1 comment:

al asad said...

Amin... Ala barakatillah wa mardhatillah. Moga Allah perkenankan segala azam2 yg akan diiltizamkan. :D