Thursday, December 13, 2007

Pengembaraan 10 hari ladang cheri Old Oak

Train yang kunaiki dari Lylidale Station meluncur laju melewati kawasan-kawasan pedalaman sekitar Victoria membawa hatiku yang sedang dalam kegembiraan. Tidak sabar rasanya untuk menunggu hari lusa dimana penerbanganku ke Singapore dijadualkan pada jam 8 malam. Gelak ketawa dan usik mengusik sepanjang 10 hari bekerja di ladang cheri Old Oak bersama 5 rakan lain sedikit sebanyak berjaya mejalinkan pertalian ukhwah antara kami. Jarang-jarangku mendapat kesempatan bersama 2 rakan senior sebidang denganku kerana mereka pun tidak selalu berada di universiti. Kudapat melihat kekuatan dalaman dan kelebihan yang ada pada mereka yang melayakkan mereka bergelar seorang pelajar perubatan tahun kelima university of Melbourne. Kuberdoa agar Allah mempermudahkan bagi mereka mengharungi 2 tahun pembelajaran lagi. Sekurangnya bolehku mendapat pengajaran dari pengalaman mereka sepanjang 4 tahun bergelar seorang pelajar perubatan.

Ketenangan dihati disokong dengan perasaan gembira merupakan saat paling sesuai untuk meluahkan isi hati dan ku tidak mahu detik ini dilupakan begitu saja, setidak-tidaknya ianya tersemat di laman blog ini buat tatapan di masa hadapan.

Kutersenyum keseorangan sambil melihat sekotak cheri fresh pemberian pengurus ladang, Mr.Gavin dikala dia juga mengetahui aku akan pulang ke Malaysia. Alhamdulillah.. Dapat juga ole-ole free untuk dibawa pulang.. “Thank you very much Gavin. Hope to see you again next year.” Itu saja janjiku kepadanya sebagai balasan pemberian sekotak cheri. Memangku berazam ingin bekerja lagi disitu tahun hadapan.

Banyak kali kumerasai rindu yang mendalam pada seseorang di setiap kali perpisahan yang bagaikan kehilangan suatu berharga dalam hidup ini. Tetapi Allah memberikanku kekuatan dan ketabahan untuk tidak menitiskan walau setitis air mata dan menghadapi kehidupan yang mendatang.

Ku mengharap agar setiap detik masa, wang, keringat,pemikiran dan perasaan kehidupanku sepanjang setahun lepas di bumi melbourne menjadi pengalaman manis dalam hidupku yang mengajar dan mendidikku menjadi seorang yang lebih baik. Tidak cukup setakat itu, tetapi yang lebih utama, agar ianya mendapat keredhaan dan keberkatan Illahi dan saham di akhirat kelak yang menjadi menjadi pendorong dan semangat untuk melakukan setiap amal kebaikan.Pengalaman manis ini akan kujadikan panduan untuk mengharungi setiap detik yang mendatang.

Ku bersyukur kepada Allah kerana memberikan petunjuk dan kemudahan dalam mengharungi setiap detik kehidupan ini. Yang menunjukkan dan membimbingku ke arah jalan mengenal kebenaran yang hakiki. dan ku percaya setiap detik yang berlalu itu pasti ada hikmahnya yang tersembunyi yang memerlukan kesabaran, renungan tajam dan fikiran mendalam untuk mengorek rahsia hikmahnya. Kadangkala sukar untuk disampaikan kesemuanya kepada orang tentang apa hikmahnya di hati, tetapi diri sendiri lebih banyak mengetahui. Hikmah pengajaran ini mempunyai suatu kuasa pendorong untuk diriku sentiasa tetap dalam mengharungi kehidupan ini di atas landasan yang benar.

Diriku hanyalah insan biasa. Kudibesarkan di sebuah rumah flat kecil 2 bilik. Semasa kecil, ayahku sentiasa mengambil berat tentang kehidupan seharianku. Benda yang paling kukagumi ialah ayahku akan sentiasa berada di ruang tamu rumah bersiap sedia menungguku selesai mandi selepas bermandian peluh bermain pada setiap petang. Setiap hari rutinnya begitu. Dia mengajarku membaca al-Quran seawal diriku 5 tahun dan alhamdulillah pabila umurku 6 tahun sebelum melangkah ke darjah satu aku telah berjaya mengkhatamkan seluruh al-Quran. Dan ianya berterusan sehinggalah ke darjah 3. Memasuki darjah 5, ayahku menjadi agak sibuk dengan tugasan-tugasan luaran yang diperolehi. Ayahku terpaksa mengambil tugasan-tugasan luar untuk menyara keluarga yang ketika itu tidak cukup dengan hanya mengharapkan pendapatan tetap dari kerajaan. Ku juga telah berjinak-jinak dalam bidang ukur tanah kerana selalu mengikut ayahku pergi keluar ke tempat-tempat tersembunyi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Sekali-sekala pernah juga sampai ke Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Pahang. Ku pernah meredah semak-samun dengan parang panjang di tangan untuk memberi laluan arah untuk diukur, Kupernah kebingitan telinga mendengar dentuman hentakan piler yang hanya beberapa kaki di sebelahku tatkala sedang memegang cermin kecil untuk menentukan kedudukan titik ‘piling’. Pernah suatu ketika ayahku bertanya akan cita-citaku pabila besar nanti. Aku kebingungan untuk memberikan jawapan. Lantas ayahku mencadangkan agarku menjadi seorang engineer dan dia mula menerangkan tentang kerja-kerja sebagai seorang engineer. Lantasku juga mengagumi kerjaya sebagai seorang engineer dan bercita-cita untuk menjadi seorang engineer. Selaluku melihat bagaimana bangunan-bangunan disekitar Kuala Lumpur dibangunkan bermula dari pembinaan tapak konkrit sehinggalah tertegaknya suatu bangunan yang lengkap tersergam indah. Dikala masa berlalu pergi, selepas SPM kumendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang kuidam-idamkan sejak kecil (kejuruteraan awam) di Universiti Teknologi Petronas (UTP). Tetapi selang seminggu kemudianku mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan di Kolej Mara Banting(KMB). Kuberada dalam dilemma, kebingungan hendak memilih mana yang lebih baik untuk diriku. Akhirnya, kuserahkan segala keputusan kepada ayahku untuk menentukannya kerana yakin keredaan ibu bapa adalah yang paling penting dalam mendapat keberkatan menuntut ilmu. Dan ayahku menyuruhku menerima tawaran ke KMB. Ku hanya menurut kata ayahku. Apa yang kufikirkan saat itu adalah segala ilmu adalah sama hanya usaha, doa dan tawakal kerana Allah diperlukan untuk menyerap ilmu tersebut ke dalam tubuh. Dan bidang perubatan tidak kurang hebat juga di Malaysia.

Jika kurenungkan kembali saat-saat bersamaan dengan ayahku, sebenarnya dia lebih mengetahui tentang diriku daripada diriku sendiri. Itulah kekuatan ayahku yang sangat memahami setiap isi hati dan pemikiranku walau dia tidak banyak berbicara perkara tersebut.

Kumengagumi sifat ayahku kerana sentiasa jujur dalam melakukan tugas-tugasnya dan berhati-hati dalam menerima setiap wang hasil pekerjaannya kerana dia tahu keberkatan mendapat wang itu lebih penting daripada kuantiti wang yang diperoleh. Setiap wang yang diterimanya akan diberikan kepada siapa saja yang berhak ke atas wang itu. Setiap kali mendapat bayaran hasil kerja ayahku tidak lokek untuk membawa kami sekeluarga makan bersama di gerai-gerai sekitar Kuala Lumpur. Kumengagumi sifatnya dalam kekuatan dan kekerasan adanya kelembutan, keteraturan dan ketenangan. Kuamat menyayangi ayahku kerana sifat-sifatnya yang baik mengalir dalam tubuhku. Kesusahan dan kepayahan inilah yang menjadi semangat untukku berusaha dan banyak mengajarku mengenal erti kehidupan sebenar. Terima kasih ayah.

Setakat kini, apa yang pasti ku berasa puas dengan kesudahan setahunku berada di bumi melbourne dengan segala apa yang kuperoleh. Akan kubawa hati yang gembira ini untuk berjumpa dengan ayah dan ibu pabila pulang ke malaysia kerana diriku telah menjadi seorang yang lebih bermakna dan lebih mengenali dan memahami diriku sendiri. Kurasa puas dan cukup untuk hanya menerima segala kegembiraan dan pembinaan diri. Telah tiba masanya untukku lebih serius dalam membina diri dan memperlengkapkannya dengan pemahaman Islam sebenar dan menyumbang ke arah pembangunan dakwah islamiah. Terima kasih menggunung kuucapkan kepada pengalaman-pengalaman manis yang telah kutimba sejak dari alam persekolahan sehinggalah kini. Azamku untuk membalas jasa pengalaman-pengalaman manis ini ialah dengan tersematnya ruh Islam sejati dalam diri setiap pemuda-pemudi Islam dan tertegaknya kalimah Lailahaillallah dimana jua kuberpijak. Berat tanggungjawab dirasakan, tetapi inilah merupakan suatu perniagaan yang tidak akan merugikan.

Kuberdoa kepada-Nya agarku sentiasa istiqamah diatas jalan yang benar, diberikan petunjuk dan semangat yang kekal membara buat bekalan sepanjang kehidupanku di dunia ini.