Friday, June 20, 2008

After a long gap..

Bismillahirahmanirrahim..

Setelah sekian lama tidak menaip di blog ini, akhirnya masih lagi di beri kesempatan dan peluang untuk meneruskannya. Alhamdulillah. Masih lagi di beri kesempatan untuk mengukirkan apa yang terjadi di sekeliling kehidupan ini.

Sekian lama tidak meluahkan perasaan melalui penulisan, menjadikan hidup berlalu begitu sahaja tanpa dapat digarap pengajaran. Setidak-tidaknya dengan penulisan mendorong diri untuk berfikir, menganalisa dan mengambil pengajaran.

Banyak perkara berlaku di sekeliling kini. Baik yang berlaku di depan mata maupun perkara yang diketahui melalui saluran media massa. Bermula dari sekecil-kecil perkara seperti masalah peribadi seseorang, masalah sosial dalam masyarakat, masalah politik di peringkat negara sehinggalah masalah ekonomi global dengan harga minyak dunia meningkat mendadak. Memang banyak sungguh masalah berlaku.

Tetapi setiap yang berlaku, telah berlaku dan berlalu. Tanpa ada respons dari diri ini yang kini bergelar seorang mahasiswa. Diri ini hanya mampu melihat dan memikirkannya buat seketika yang kemudian ia berlalu begitu sahaja. Seolah-olah kehidupan ini hanya terkongkong dalam satu kepompong kecil. Hanyut, leka dan lena dalam dunia sendirian. Lebih suka berkorban dan berhabisan untuk perkara yang mendatangkan keuntungan kecil. Jauh sekali ada keinginan untuk hidup dengan memberi.

Mungkin perasaan ini juga dialami oleh kebanyakan mahasiswa-mahasiswi lain. Patutkah bertindak sedemikian rupa? Telah dikurniakan nikmat biasiswa setiap bulan, menghuni di bumi asing yang menjadi impian rakyat lain untuk menjejakkan kaki. Tetapi hanya mampu untuk melihat dan menunggu apa natijah dari setiap perkara berlaku disekeliling. Yang hanya mementingkan suatu matlamat kecil sedangkan terdapat matlamat unggul yang menjanjikan pulangan yang hakiki.

Matlamat unggul ini tidak semua orang ketahui kerana kurangnya pendedahan mungkin akibat terlalu "rigid" untuk hanya mengikut, tunduk dan patuh kepada sistem pembelajaran yang telah dipersetujui dan ditandatangani. Habis 4,5 atau 6 tahun mesti menjadi seorang doktor, engineer, architecture, accountant, dan lain-lain lagi. Selepas habis belajar wajib berkhidmat untuk tempoh sekian masa sebagai balasan hutang yang perlu dilangsaikan. Tidak pun mencari pekerjaan di syarikat-syarikat yang menyediakan gaji lumayan. Lagi lumayan lagi bagus. Yang kemudian lagi taat dan patuh kepada setiap arahan boss syarikat untuk tempoh masa sekian masa. Dan bagi yang masih berkebolehan, ingin meneruskan pembelajaran ke peringkat "Masters" dan "PHD" ataupun specialist atau subspecialist. Mengejar pangkat bergelar Professor, Professor Madya, Dr. , Ir. . Dengan penuh keyakinan menurunkan tandatangan pada surat perjanjian untuk taat dan patuh kepada setiap tugasan sehingga tamat dan keluar menjadi seorang yang diimpikan.

Itulah sedikit sebanyak matlamat dalam jangka masa 10 atau 15 tahun akan datang yang sentiasa bermain-main di pemikiran kebanyakan mahasiswa-mahasiswi di luar negara. Apakah kita menyedari sistem pembelajaran yang kita peluki merupakan ciptaan manusia juga. Ia seringkali berbeza dari suatu universiti dengan universiti yang lain. Yang seringkali diubah-ubah dari tahun ke tahun mengikut kesesusaian semasa. Yang pembelajarannya kadang-kala hanya mementingkan apa yang akan disoal pada musim peperiksaan. dan rata-ratanya kalangan kita hanya mengingat sebilangan kecil ilmu yang dipelajari pada semester-semester lepas dan menjadi makin luput dari ingatan dengan masa yang berlalu apatah lagi jika ilmu itu tidak diulangai dan diamalkan.

Dengan sedar atau tidak itulah sistem ciptaan manusia yang telah kita peluki. Penuh dengan percaturan dan permainan untuk mempengaruhi pemikiran dan tindak-tanduk kita yang akan dijadikan bekalan panduan untuk lebihan kehidupan seterusnya. Jika tidak bersedia untuk membuka minda dan merendahkan diri untuk mempelajari suatu yang menjamin pulangan hakiki akhirnya terjerumuslah kita ke lembah yang penuh permainan dan senda gurauan. Maka benarlah apa yang diperkatakan dalam al-Quran bahawa dunia ini permainan dan senda gurau. Janganlah sampai Allah menutup pintu hati dan membiarkan kita terus dengan matlamat hidup yang sempit yang akhirnya mendatangkan kerugian yang besar. Sepertimana firman Allah dalam Surah Nuh ayat 42:


"Maka biarkanlah mereka tenggelam dan bermain-main(dalam kesesatan) sehingga mereka berjumpa dengan hari yang diancamkan kepada mereka."

Dengan sedar atau tidak inilah sebenarnya masalah pemikiran yang sedang melanda kebanyakan mahasiswa-mahasiswi masakini. Umum selalu menuding jari kepada remaja yang selalu berpeleseran di pasaraya-pasaraya, remaja yang menjadikan jalanraya sebagai medan pertarungan dan remaja yang melakukan kes-kes jenayah seperti terlibat dalam penyalahgunaan dadah, merompak dan mecuri dan sebagainya. Dengan perbandingan sebegini mahasiswa-mahasiswi luar negara khususnya, merasakan diri mereka dalam keadaan zon selesa, yang tidak mendatangkan masalah kepada masyarakat dan
hanya menjaga baik-baik setiap assignment-assignment dan kertas-kertas peperiksaan agar ianya terisi dengan tepat dan betul. Penting sekali lulus dan biasiswa dapat diteruskan. Perkara selain dari itu, boleh diambil sambil lewa dan tidak perlu untuk memerah keringat pemikiran dan bersengkang mata.

Begitulah sistem yang berjaya mengaburi mata kebanyakan kita. Tatkala musuh-musuh Islam bergembira dengan lahirnya generasi "lembik" yang hanya disuapkan dengan ilmu "permainan" oleh mereka. Ditambah lagi dengan pelbagai jahiliyah moden bersarang di pemikiran generasi Islam yang lahir. Mungkin inilah generasi yang akan memimpin negara suatu hari kelak. Dengan ini berjayalah program teliti yang dirancang oleh musuh-musuh Islam. Membenarkan tamadun mereka untuk kekal menakluk dunia dan membiarkan tamadun Islam terus ditindas dan diinjak-injak.

Tetapi kebanyakan kita masih tidak sedar dan tidak mahu membuat perubahan...

Suatu sistem yang unggul seharusnya menyediakan para rijal yang memiliki sifat kesyumulan Islam dalam kehidupan. Tahu dan faham setiap intisari Al-Quran dan mempunyai matlamat hidup yang jelas. Para rijal yang tahu cara sebenarnya mengatur kehidupan yang memastikan setiap saat yang berlalu sentiasa ingin mencari keredhaan Illahi. Sistem unggul yang juga dapat menjamin kesinambungan generasi pelapis untuk sekalian waktu yang panjang sehingga waktu akhirat. Sistem unggul yang dapat mengembalikan kegemilangan Islam yang suatu ketika pernah menakluk dua pertiga dunia.

Maka tidak lain dan tidak bukan jalannya hanyalah dakwah di jalan Allah. Dengan dakwahlah akan tersebarnya risalah Islam dan dapat menerangi hidup setiap insan. Allah menjanjikan pulangan yang lumayan kepada sesiapa yang membantu menyebarkan risalah-Nya. Sepertimana firman-Nya :


Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa dan harta mereka dengan memberika syurga untuk mereka. Mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. {At-Taubah:111}


Sepotong ayat di atas telah menjelaskan sejelas-jelasnya prasyarat bagaimana untuk mencapai matlamat hidup yang unggul iaitu memiliki syurga Illahi. Alangkah bahagia kepada siapa yang telah ditetapkan namanya sebagai seorang daripada penghuni syurga. Bukan mudah untuk mendapatkannya tetapi bukan susah juga untuk melepaskannya. Paling penting sekali perlu bermula dengan niat yang ikhlas, keazaman yang tinggi, matlamat yang jelas dan kefahaman mendalam.

Pastinya akan tibanya mehnah dan tirbulasi di sepanjang perjalanan menuju ke matlamat yang unggul kerana syaitan itu sentiasa mempengaruhi manusia selaju aliran darah dalam tubuh manusia. Benarlah sepertimana kata-kata Allah dalam surah Al-Ankabut: 2-3 :

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman", sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang2 yang benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui orang2 yang dusta."

Maka perbetulkanlah matlamat hidup kita agar ianya pasti mencapai matlamat yang unggul. Berusahalah terhadap segala prasyarat-prasyarat untuk mencapainya semoga kita sentiasa berbahagia dan tenang di dunia dan akhirat.

Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingat Allah, Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram. {Ar-Ra'd:28}


Wallahua'lam...