Saturday, January 26, 2008

salah satu cara...

Bismillahirrahmanirrahim...

Pertamanya setinggi kesyukuran kehadrat Illahi kerana limpah nikmat-Nya dapat lagi meneruskan detik-detik kehidupan ini. dan bersyukur juga kerana pada saat ini masih lagi diberi kesempatan-kesempatan agar pintu hati ini dapat diketuk agar dibuka dan dilembutkan semata-mata mencari keredhaan-Nya. Setiap perkara yang didengari dan dialami membuatkan diri sentiasa berfikir dan bermuhasabah akan kesilapan dan kelemahan lalu. Menyedari diri ini hanyalah insan lemah dan kadangkala lalai sehinggakan detik-detik masa yang berlalu tiada harganya untuk membeli kehidupan yang kekal kelak.

Seperti biasa selesai berdoa setelah solat maghrib bergegas pulang ke rumah mengajar adik-adik mengaji dan menyelesaikan kerja sekolah. Tapi hari ini hanya mengaji. dan jam menunjukkan baru pukul 8.25 malam, masih ada masa sebelum isya'. Ketika itu juga kedengaran suara lantang dari cerobong pembesar suara surau mendetikkan hati mengarahkan tubuh melangkah pergi lebih dekat.

15 minit terakhir kuliah maghrib yang sempat dihadiri tadi sebenarnya telah memberi kesedaran baru dalam diri dan sedikit sebanyak memperbetulkan pemahaman silam. Hanya duduk diluar cermin kaca memandangkan bahagian dalam telah dipenuhi ramai orang. Ustaz sedang membicarakan makna kalimah Lailahaillallah. Kalimah yang singkat tetapi mengandungi maksud mendalam. Dimulakan dengan kalimah nafi iaitu "la" iaitu menafikan atau menidakkan atau menolak segala apa pun melainkan Allah sebagai tempat pergantungan. Kalimah ini bukan hanya setakat kalimah yang diucapkan dibibir semata tetapi makna kalimah ini menuntut setiap orang Islam berjuang menegakkannya dalam setiap detik kehidupan walau dimana jua berada. Pemahaman menyeleruh terhadap makna kalimah ini begitu penting sebagai asas pegangan setiap individu muslim dan diriku ikhlas mengatakan masih tidak sempurna dalam memahaminya.

Pertama kali mendengar mengenainya ketika pembentangan syahadatul haq sewaktu di tahun satu. Mungkin kerana kelemahan diriku yang tidak fokus atau sikap ego menyelubungi diri menyebabkan setiap isi dari pembentangan mantap itu tidak dapat digarap sepenuhnya. Apabila isi tidak dapat digarap dengan sempurna dan tiada usaha susulan seperti perbincangan dengan rakan-rakan yang lebih memahami, maka hasilnya hanya setakat apa yang digarap. Pernah suatu ketika disuruh membentangkan semula apa yang diperoleh dari pembentangan itu,tetapi entah macamana ketika itu pemikiran terangsang untuk membentangkan tentang ISK. tidak lama kemudian kesuntukan masa dan tiada sambungan selepas itu... maknanya tidak melakukan seperti apa yang diarahkan. apakah puncanya?? (satu perkara yg perlu difikirkan)

Terlintas juga di pemikiran, mengapa perkara-perkara asas bagi setiap individu muslim seperti ini tidak diajarkan sejak awal-awal lagi di bangku persekolahan?? Benda-benda asas seperti ini sepatutnya perlu diterapkan sejak dibangku persekolahan rendah lagi agar ianya menjadi nyanyian kanak-kanak dan perbualan anak kepada ibubapa semasa di rumah. Pabila memasuki alam sekolah menengah ianya perlu diperkukuhkan lagi dengan penerangan-penerangan yang lebih mendalam agar ianya terbina kukuh dan subur di dalam hati setiap pelajar Islam. dan seterusnya pabila telah menamatkan alam pembelajaran memerlukan peranan masyarakat dalam mengingatkan antara satu sama lain tentang perkara-perkara yang telah tersemai subur dan kukuh agar ianya bertambah subur, kukuh dan mekar. Dengan salah satu cara sebegini insyaAllah hasrat melahirkan masyarakat dan negara Islam sejati yang terdiri daripada individu-individu Islam sejati akan terlaksana.

Apa yang perlu dipersalahkan dalam hal ini?? Yang utama perlu dipersalahkan ialah sistem pendidikan kebangsaan dan siapa yang mengetuainya ialah Menteri Pelajaran. Ini kerana kebanyakan individu yang lahir daripada sistem pendidikan kebangsaan tidak diajar mengenai asas-asas penting Islam ini serta maknanya secara menyeluruh kerana memang tiada dalam syllibus. Oleh itu, mengapa keadaan masyarakat yang ada masakini begini?? kemungkinan jawapannya ialah:

1. Tidak pernah diberitahu tentang asas-asas Islam serta maknanya yang menyeluruh.
2. Telah diberitahu tetapi pemahaman masih tidak menyeluruh.
3. Telah memahami tetapi sikap individu itu sendiri yang menolak untuk melakukan.
4. Telah melakukan tetapi akhirnya futur.(nauzubillah)

Daripada 4 golongan ini, 2 golongan pertama insyaAllah paling senang diselamatkan dengan menerangkan apa yang tidak diberitahu atau difahami.

Oleh itu, sebagai refleksi diri... merasakan diri ini terjatuh dalam 2 golongan pertama. Kumemohon agar Allah s.w.t sentiasa membukakan pintu hati ini. dan sentiasa diberi petunjuk dan dibimbing oleh-Nya ke jalan yang Haq.

wallahua'lam..

1 comment:

al asad said...

Moga dengan usaha dakwah dan tarbiyah , Allah bukakan pintu hidayah pada hati muslim2. Teruskan usaha dan tsabat dalamnya.