Saturday, June 16, 2007

Mulakan dengan Basmallah

Salam Pertemuan...

Pertama-pertama sekali eloklah kiranya dimulakan pelancaran blog ini dengan ucapan kalimah thaibah "basmallah". Nilai keagungan kalimah basmallah ini dapat mengangkat kemuliaan seseorang di sisi tuhan-Nya. Tidak sukar kiranya setiap perbuatan dimulakan dengan "basmallah". Membaca basmallah bererti kita sentiasa ingat kepada-Nya, bergantung harap hanya kepada-Nya yang secara tidak langsung dapat membetulkan niat hanya kerana Allah, dan seterusnya membentuk peribadi mulia.

"Bismillahirahmanirahim" ; kalimah lengkap basmallah ini dapat menjadi bukti setiap amalan semasa di akhirat kelak. dan Sesungguhnya setiap perbuatan manusia di dunia ini pastinya akan dihitung dan perbuatan yang disertai basmallah kemungkinan besar dapat menjadi penyelamat dan menjadikan manusia itu seorang yang beruntung.

Hidup di dunia hanyalah sementara ibarat mencelupkan seruas jari di lautan luas yang apakan sangat nilainya jika dibandingkan dengan kehidupan di akhirat kelak yang kekal abadi. dan Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa dan memiliki segala yang ada di langit dan di bumi. Apapun yang terjadi tidak terlepas dari perkiraan-Nya hatta sebutir pasir yang bergolekan di dasar lautan adalah di dalam pengetahuan-Nya. Subhanallah...

Manusia tidak mengerti sesuatupun ketika proses kejadian manusia didalam perut ibu-ibu. Allah telah mengaturkan dan menetapkan agar setiap manusia itu dikurniakan dengan sepasang tangan, kaki, telinga, hidung, mata dan satu mulut serta dilengkapi dengan otak, deria dan organ-organ dalaman dan mengiktiraf manusia sebagai sebaik-baik ciptaan-Nya.

Ketika di alam rahim manusia tidak mengertai apa itu alam dunia, tetapi Allah telah mempersiapkan manusia selama 40 minggu di alam rahim untuk menghadapi alam dunia. Bermula dengan tangisan ketika mula melangkah masuk ke alam dunia sehinggalah dimasukkan ke dalam liang lahat; yang masanya kira-kira setengah abad; manusia perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi alam akhirat.

Begitulah realiti kehidupan manusia. Bezanya hanya, kehidupan di dunia manusia diberi pilihan bagaimana untuk mempersiapkan diri menghadapi alam berikutnya manakala kehidupan di alam rahim merupakan ketetapan, kurniaan Allah dan manusia tiada pilihan.

Maka, hiduplah manusia di muka bumi ini sebagaimana hidup seorang yang musafir yang sentiasa berusaha menuju ke destinasi "terulung". Amalan yang diniatkan kerana Allah dan tidak bertentangan dengan syariat akan diambil kira di akhirat dan insyaAllah syurga merupakan destinasi "terunggul" bagi setiap manusia. Amin...

pengakhiran sebuah permulaan...

2 comments:

DotA King said...

Boss, suda start jangan kasi berenti ini penulisan. Ini penulisan kasi jaga sama itu lu punya nyawa. Satu cara lu nak menguasai minda manusia adalah melalui penulisan. Kuasa penulisan sangat bagus wa cakap sama lu...

Hidup Pengembara said...

Baik boss, insyaAllah tarak belenti punya..