Monday, October 27, 2008

Maruah diri dan agama ini

Bismillahirrahmanirrahim..

Peperiksaan semakin menjelang tiba. Dan hari ini telah masuk minggu terakhir sebelum bermulanya minggu 'Swot Vac'. Aku akui banyak lagi fakta-fakta yang masih belum diulangkaji semula. Tetapi aku gigihkan untuk menulis kali ini kerana terasa pentingnya entri ini untuk dikongsi bersama.

Ceritanya bermula begini. Setelah 14 minggu aku duduk bersama, sekurang-kurangnya 4 jam seminggu, mengelilingi sebuah meja empat segi dalam sebuah bilik yang besarnya hanyalah kira-kira 4m x 3m. Setiap kali masuk aku cuba untuk memposisikan diri supaya di kiri dan kananku adalah dari jantina yang sama. Atau pun aku mengambil posisi di hujung meja. Lebih selesa.. Pada permulaan semester aku merasakan kumpulan PBL ini akan 'lebih baik' dari segi ahlinya dan isi yang hendak dibincangkan jika dibandingkan dengan semester-semester yang lepas. Tetapi setelah minggu demi minggu berlalu, aku merasakan sangkaanku kini benar-benar meleset.

Setiap kali pertemuan pasti ada sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali bilik kecil itu gempak-gempita dek suara orang-orang di dalamnya ketawa. Aku pun buat-buatlah senyum sikit-sikit. Sekadar mengikut rentak mereka. Sebenarnya dalam hati ingin saja ku luahkan sambil berkata, "apa yang lawak sangat?"

Dan hari ini, satu situasi membuatkan diriku terkilan pabila seorang ahli kumpulan mencadangkan sesuatu sempena menyambut pertemuan kali terakhir untuk semester ini. "Can we bring alcohol for the next meeting?", katanya. "Wah, hebatnya dia ni", sinis hatiku. Ahli kumpulan lain senyap seketika tanpa ada yang membantah atau menyokong. Aku pun tidak terdaya untuk mengatakan tidak. Aduh...

Lantas tutor mencelah, sambil teragak-agak untuk menyatakan pendiriannya. "Erm.. I, I let u decide it". Aku lega sikit kerana masih ada ruang untuk menyatakan pendapat. Ada masa lagi untuk memberikan pendapat di ruangan perbincangan kumpulan. Tidak ku sanggup kalau pada pertemuan seterusnya aku duduk di hadapan meja yang dihidangkan arak.

Aku perlu buat sesuatu agar maruah diri dan agama ini tidak diperkotak-katikkan begitu saja. Takbir!!

Katakanlah (Muhammad), "Wahai orang-orang kafir!".
Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
dan kamu bukan penymebah apa yang aku sembah.
dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah.
dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yang aku sembah.
Untukmu agamamu, dan untukku agamaku. (Al-Kafirun: 1-6)


No comments: