Tuesday, December 16, 2008

Bergantung Pada Allah

Jika kita perhatikan setiap perkara di alam ini baik dari sekecil-kecil perkara seperti pasir, semut, bakteria hinggalah sebesar-besar perkara seperti bangunan tinggi, gajah, dan paus, terdapat satu ciri persamaan yang perlu ada untuk membolehkan kewujudan sesuatu perkara itu bermakna. Ciri persamaan itu ialah kebergantungan sesuatu perkara kepada perkara lain. Ia tidak boleh berfungsi dengan sebaiknya dan bermanfaat pada yang lainnya jika hanya wujud secara sendirian. Sebagai contoh, dalam suatu rantai makanan di populasi kawasan sawah padi. Burung-burung dan serangga-serangga yang ada di sekitaran sebagai pengguna premier mendapat makanan daripada hasil padi. Padi yang tumbuh pula adalah hasil daripada proses fotosintesis yang bergantung pada sumber cahaya matahari.

Contoh populasi kawasan sawah padi hanyalah satu daripada pelbagai contoh kebergantungan sesuatu perkara kepada perkara lain di alam ini. Apa yang penting adalah kebergantungan sesuatu perkara kepada perkara lain hendaklah sesuai dan bertepatan dengan keperluan agar ia dapat berfungsi dengan baik dan kewujudannya signifikan di alam ini. Terjadinya kebergantungan ini adalah kerana ketetapan Allah atau lebih tepat lagi Sunnatullah. Dan Sunnatullah tidak hanya terjadi secara tiba-tiba tanpa ada rancangan teliti oleh pencipta-Nya di Luh Mahfuz.

Berbicara tentang Sunnatullah, manusia sebagai sebaik-baik makhluk ciptaan Allah juga memerlukan tempat bergantung. Bezanya kebergantungan manusia daripada kebergantungan perkara selain manusia ialah manusia secara umumnya bergantung pada banyak perkara di alam ini. Ini kerana manusia dikurniakan dengan akal fikiran yang membolehkan manusia berfikir dan memanipulasi banyak benda di sekelilingnya dengan tujuan menjadikan kehidupannya lebih mudah dan mengurangkan ancaman. Tetapi manusia seringkali lupa bahawa kebergantungan mereka kepada perkara di sekeliling hanyalah bersifat sementara dan tidak menjanjikan keuntungan yang signifikan. Jadi, apakah tempat sebenar-benarnya manusia meletakkan kebergantungan? Cuba kita bayangkan beberapa gambaran situasi yang benar-benar terjadi pada diri sendiri.

Situasi semasa musim peperiksaan biasanya menyebabkan para pelajar menjadi gusar dan takut akan natijah keputusannya. Di ketika ini, segala usaha dicurahkan sepenuhnya untuk menalaah pelajaran dengan harapan dapat menjawab soalan ketika peperiksaan dan mendapat keputusan yang memberangsangkan. Tetapi pernahkah kita terfikir semasa menjawab peperiksaan tiba-tiba kita tidak dapat berfikir dengan baik dan hanya mampu merenung soalan peperiksaan di hadapan mata. Pada saat itu kepada siapakah kita mengharapkan tempat bergantung?

Jadi, seharusnya manusia meletakkan pengharapan yang agung hanyalah semata-mata kepada Allah. Dialah yang mengusai setiap perkara di alam ini.

  • Cara-cara bergantung pada Allah : - bukan hanya terus berserah tanpa berusaha bersungguh-sungguh - berdoa dengan sepenuh hati mengharapkan sesuatu - taat segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya - hendaklah yakin dengan bantuan-Nya - tidak mengadu-domba kepada makhluk lain jika permintaan tidak dikabulkan. (hendaklah berbaik sangka dengan segala yang telah dikurniakan.)
  • · Cara praktikal: - Perbanyakkan bacaan al-Quran - Perbanyakkan merenung dan berfikir tentang ciptaan Allah dan apa yang berlaku di sekeliling - Jauhi perkara lagho - Perbanyakkan zikir kepada Allah
Wallahua'lam...


Politik Ladang Menghancurkan Pemuda Islam

Sepanjang tahun sejak semester bermula kebanyakan pelajar di luar negara sibuk untuk menghadiri pembelajaran di universiti. Kebanyakan masa dihabiskan untuk mengejar jadual kuliah, menyiapkan tugasan dan menelaah untuk mengadapi peperiksaan. Rutinnya begitu setiap hari hingga sampai ke hujung tahun. Pabila tamat kertas terakhir peperiksaan akhir semester barulah diri terasa lega seketika kerana terlepas dari bebanan pembelajaran. Saban tahun rutinnya pun begitu...

Tempoh percutian musim panas selama 3 bulan menambahkan kelegaan para pelajar pabila ditawarkan pelbagai pekerjaan yang menarik lebih-lebih lagi bekerja sebagai pemetik buah. Di kala inilah buah sedang masak ranum, warnanya menarik dan isinya sedap. Gajinya pun tidak kurang lumayannya jika didarab 3. “Ah, tidak mengapa jika kebanyakan masa dihabiskan di ladang asalkan poket bertambah gemuk!”

Aku juga termasuk dalam kalangan kebanyakan para pelajar yang “obsessive”. Setakat 2 minggu bertungkus-lumus memenuhkan kotak buah untuk mencapai timbangan maksimum, aku terfikir apakah faedah yang aku perolehi dari membuat perkara ini? Kadangkala aku kebingungan. Kadangkala juga aku merasakan seolah-olah aku sedang dipergunakan. Kadangkala juga aku terfikir adakah rakan-rakan lain berfikir sebagaimana yang sedang aku fikirkan?

Jika dilihat kebanyakan pekerja yang bekerja bersama adalah di kalangan orang yang melancong sambil bekerja atau lebih dikenali sebagai ‘backpackers’. Ada di antara mereka berasal dari negara luar seperti negara Eropah dan tidak sama sekali dari negara timur tengah. Mereka menggunakan visa melancong sambil bekerja. Sekali pandang nampak mereka seperti orang biasa di negara asal mereka dengan perbualan yang santai dan berkereta ala-ala zaman 60-an. Tetapi pabila ditanya, mereka adalah seorang professional baik sebagai seorang jurutera, accountant atau computer analysist. Mereka datang bekerja di ladang-ladang adalah kerana ingin merasakan suasana yang berbeza, yang jauh dari hiruk-pikuk dan kesibukan di kota.

Jelas matlamat mereka sebenar bukanlah untuk mengejar wang semata, tetapi untuk mencari kerehatan dan kedamaian dunia. Bagaimana pula dengan kita dan diriku ini?

Secara umumnya, kebanyakan kita adalah wakil yang terbaik dari setiap sekolah terpilih di seluruh Malaysia. Dan secara umumnya juga, kita memiliki kelebihan tersendiri baik dari segi mental, fizikal dan disiplin diri berbanding rakan-rakan lain. Dan perkara ini disedari oleh kebanyakan pengurus-pengurus ladang yang menyebabkan mereka ghairah untuk mengambil kita bekerja di ladang-ladang mereka. Walaupun tahun ini hasil buah agak kurang lumayan kerana kerap kali hujan, tetapi para pengurus sanggup menawarkan gaji yang lebih tinggi hinggakan 2 kali ganda dari gaji asal. Memang ada logiknya kerana jika bekalan berkurangan harga pasaran akan meningkat.

Jika dilihat sekali imbas, perkara ini dapat memberikan keuntungan kepada kedua belah pihak. Tetapi adakah kita melihat kerugian masa yang dialami oleh kita, pemuda Islam. Jika diteliti sedalamnya, perkara ini bukan lagi mendatangkan keuntungan kedua belah pihak malah kerugian kepada kita dan keuntungan kepada golongan kufar kerana berjaya menjinakkan pemuda Islam dari baraan semangat juang Islam. Mereka berjaya memastikan masa cuti pemuda-pemuda Islam dihabiskan bukan untuk mendalami kefahaman Islam atau memikirkan tentang nasib-nasib saudara seislam yang lain.

Jadi, apakah solusi bagi permasalahan ini?

Di sini kita dapat melihat betapa peri pentingnya untuk kita memiliki matlamat dan niat yang jelas dalam setiap perbuatan yang kita lakukan agar kita tidak hanyut dalam keseronokan palsu duniawi. Ini kerana matlamat hidup kita bukan dunia semata tetapi akhirat yang lebih utama. Bukan untuk meninggalkan terus pekerjaan ini tetapi bagaimana kita mengorientasikan pemikiran kita untuk menjadikan pekerjaan ini sebagai medan latihan fizikal, mental dan ruhi. Ini kerana matlamat unggul seorang Islam yang telah kita kaburi kini adalah untuk berjihad di jalan Allah.

Akhir sekali buat penutup bicara, jadikanlah Islam sebagai asas kita membuat pertimbangan dalam setiap perkara. Jangan biasakan diri untuk hanya melihat sesuatu perkara dari satu perspektif yang kita terima sahaja tetapi cubalah untuk mengkaji dan mendalami dari perspektif-perspektif yang lain. Ini kerana orang yang terbaik adalah orang yang dapat melihat sesuatu perkara dari segala perspektif yang memberi ruang kepada mereka untuk memilih jalan yang terbaik mencapai kejayaan.

Wallahua’lam.