Tuesday, December 16, 2008

Politik Ladang Menghancurkan Pemuda Islam

Sepanjang tahun sejak semester bermula kebanyakan pelajar di luar negara sibuk untuk menghadiri pembelajaran di universiti. Kebanyakan masa dihabiskan untuk mengejar jadual kuliah, menyiapkan tugasan dan menelaah untuk mengadapi peperiksaan. Rutinnya begitu setiap hari hingga sampai ke hujung tahun. Pabila tamat kertas terakhir peperiksaan akhir semester barulah diri terasa lega seketika kerana terlepas dari bebanan pembelajaran. Saban tahun rutinnya pun begitu...

Tempoh percutian musim panas selama 3 bulan menambahkan kelegaan para pelajar pabila ditawarkan pelbagai pekerjaan yang menarik lebih-lebih lagi bekerja sebagai pemetik buah. Di kala inilah buah sedang masak ranum, warnanya menarik dan isinya sedap. Gajinya pun tidak kurang lumayannya jika didarab 3. “Ah, tidak mengapa jika kebanyakan masa dihabiskan di ladang asalkan poket bertambah gemuk!”

Aku juga termasuk dalam kalangan kebanyakan para pelajar yang “obsessive”. Setakat 2 minggu bertungkus-lumus memenuhkan kotak buah untuk mencapai timbangan maksimum, aku terfikir apakah faedah yang aku perolehi dari membuat perkara ini? Kadangkala aku kebingungan. Kadangkala juga aku merasakan seolah-olah aku sedang dipergunakan. Kadangkala juga aku terfikir adakah rakan-rakan lain berfikir sebagaimana yang sedang aku fikirkan?

Jika dilihat kebanyakan pekerja yang bekerja bersama adalah di kalangan orang yang melancong sambil bekerja atau lebih dikenali sebagai ‘backpackers’. Ada di antara mereka berasal dari negara luar seperti negara Eropah dan tidak sama sekali dari negara timur tengah. Mereka menggunakan visa melancong sambil bekerja. Sekali pandang nampak mereka seperti orang biasa di negara asal mereka dengan perbualan yang santai dan berkereta ala-ala zaman 60-an. Tetapi pabila ditanya, mereka adalah seorang professional baik sebagai seorang jurutera, accountant atau computer analysist. Mereka datang bekerja di ladang-ladang adalah kerana ingin merasakan suasana yang berbeza, yang jauh dari hiruk-pikuk dan kesibukan di kota.

Jelas matlamat mereka sebenar bukanlah untuk mengejar wang semata, tetapi untuk mencari kerehatan dan kedamaian dunia. Bagaimana pula dengan kita dan diriku ini?

Secara umumnya, kebanyakan kita adalah wakil yang terbaik dari setiap sekolah terpilih di seluruh Malaysia. Dan secara umumnya juga, kita memiliki kelebihan tersendiri baik dari segi mental, fizikal dan disiplin diri berbanding rakan-rakan lain. Dan perkara ini disedari oleh kebanyakan pengurus-pengurus ladang yang menyebabkan mereka ghairah untuk mengambil kita bekerja di ladang-ladang mereka. Walaupun tahun ini hasil buah agak kurang lumayan kerana kerap kali hujan, tetapi para pengurus sanggup menawarkan gaji yang lebih tinggi hinggakan 2 kali ganda dari gaji asal. Memang ada logiknya kerana jika bekalan berkurangan harga pasaran akan meningkat.

Jika dilihat sekali imbas, perkara ini dapat memberikan keuntungan kepada kedua belah pihak. Tetapi adakah kita melihat kerugian masa yang dialami oleh kita, pemuda Islam. Jika diteliti sedalamnya, perkara ini bukan lagi mendatangkan keuntungan kedua belah pihak malah kerugian kepada kita dan keuntungan kepada golongan kufar kerana berjaya menjinakkan pemuda Islam dari baraan semangat juang Islam. Mereka berjaya memastikan masa cuti pemuda-pemuda Islam dihabiskan bukan untuk mendalami kefahaman Islam atau memikirkan tentang nasib-nasib saudara seislam yang lain.

Jadi, apakah solusi bagi permasalahan ini?

Di sini kita dapat melihat betapa peri pentingnya untuk kita memiliki matlamat dan niat yang jelas dalam setiap perbuatan yang kita lakukan agar kita tidak hanyut dalam keseronokan palsu duniawi. Ini kerana matlamat hidup kita bukan dunia semata tetapi akhirat yang lebih utama. Bukan untuk meninggalkan terus pekerjaan ini tetapi bagaimana kita mengorientasikan pemikiran kita untuk menjadikan pekerjaan ini sebagai medan latihan fizikal, mental dan ruhi. Ini kerana matlamat unggul seorang Islam yang telah kita kaburi kini adalah untuk berjihad di jalan Allah.

Akhir sekali buat penutup bicara, jadikanlah Islam sebagai asas kita membuat pertimbangan dalam setiap perkara. Jangan biasakan diri untuk hanya melihat sesuatu perkara dari satu perspektif yang kita terima sahaja tetapi cubalah untuk mengkaji dan mendalami dari perspektif-perspektif yang lain. Ini kerana orang yang terbaik adalah orang yang dapat melihat sesuatu perkara dari segala perspektif yang memberi ruang kepada mereka untuk memilih jalan yang terbaik mencapai kejayaan.

Wallahua’lam.


1 comment:

rosso said...

salam ziarah.

quote:
Jika diteliti sedalamnya, perkara ini bukan lagi mendatangkan keuntungan kedua belah pihak malah kerugian kepada kita dan keuntungan kepada golongan kufar kerana berjaya menjinakkan pemuda Islam dari baraan semangat juang Islam.

Sebenarnya, alQuran dah pun gariskan siapa sebenarnya yang untung, dan siapa yang rugi

Suratul 'Asr: yang rugi adalah yang tidak beriman, yang tidak beramal soleh, dan tidak berpesan dengan kebenaran dan kesabaran. Pendek kata, tidak berdakwah maka rugilah manusia itu. dan tentulah yang beruntung adalah mereka yang melakukan sebaliknya.

Saya sendiri tak pernah bekerja ladang, tapi banyak menerima input2 dari sahabat2 lain yang dah lama berladang. Seperti yang akhi katakan di akhir tulisan,

quote:
Bukan untuk meninggalkan terus pekerjaan ini tetapi bagaimana kita mengorientasikan pemikiran kita untuk menjadikan pekerjaan ini sebagai medan latihan fizikal, mental dan ruhi.

Banyak hasil2 perladangan ni dapat meningkatkan tarbiyyah individu tersebut. Belajar hidup bersusah, bermujahadah, berusaha cari rezeki sendiri dengan cara yang halal. Jadikan setiap perkara yang kita lakukan suatu ibadah. Nanti kehidupan di Malaysia lebih kurang begitulah. Pagi kerja, balik dah dekat maghrib, malam sibuk dengan aktiviti dakwah, balik lewat malam, esok pagi kerja lagi. Mungkin kerja ladang lagi "rileks" berbanding realiti sebenar di Malaysia nanti. Apa2 pun semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua insyaAllah.

Wallahu'alam