Jika kita perhatikan setiap perkara di alam ini baik dari sekecil-kecil perkara seperti pasir, semut, bakteria hinggalah sebesar-besar perkara seperti bangunan tinggi, gajah, dan paus, terdapat satu ciri persamaan yang perlu ada untuk membolehkan kewujudan sesuatu perkara itu bermakna. Ciri persamaan itu ialah kebergantungan sesuatu perkara kepada perkara lain. Ia tidak boleh berfungsi dengan sebaiknya dan bermanfaat pada yang lainnya jika hanya wujud secara sendirian. Sebagai contoh, dalam suatu rantai makanan di populasi kawasan sawah padi. Burung-burung dan serangga-serangga yang ada di sekitaran sebagai pengguna premier mendapat makanan daripada hasil padi. Padi yang tumbuh pula adalah hasil daripada proses fotosintesis yang bergantung pada sumber cahaya matahari. Contoh populasi kawasan sawah padi hanyalah satu daripada pelbagai contoh kebergantungan sesuatu perkara kepada perkara lain di alam ini. Apa yang penting adalah kebergantungan sesuatu perkara kepada perkara lain hendaklah sesuai dan bertepatan dengan keperluan agar ia dapat berfungsi dengan baik dan kewujudannya signifikan di alam ini. Terjadinya kebergantungan ini adalah kerana ketetapan Allah atau lebih tepat lagi Sunnatullah. Dan Sunnatullah tidak hanya terjadi secara tiba-tiba tanpa ada rancangan teliti oleh pencipta-Nya di Luh Mahfuz.
Berbicara tentang Sunnatullah, manusia sebagai sebaik-baik makhluk ciptaan Allah juga memerlukan tempat bergantung. Bezanya kebergantungan manusia daripada kebergantungan perkara selain manusia ialah manusia secara umumnya bergantung pada banyak perkara di alam ini. Ini kerana manusia dikurniakan dengan akal fikiran yang membolehkan manusia berfikir dan memanipulasi banyak benda di sekelilingnya dengan tujuan menjadikan kehidupannya lebih mudah dan mengurangkan ancaman. Tetapi manusia seringkali lupa bahawa kebergantungan mereka kepada perkara di sekeliling hanyalah bersifat sementara dan tidak menjanjikan keuntungan yang signifikan. Jadi, apakah tempat sebenar-benarnya manusia meletakkan kebergantungan? Cuba kita bayangkan beberapa gambaran situasi yang benar-benar terjadi pada diri sendiri.
Situasi semasa musim peperiksaan biasanya menyebabkan para pelajar menjadi gusar dan takut akan natijah keputusannya. Di ketika ini, segala usaha dicurahkan sepenuhnya untuk menalaah pelajaran dengan harapan dapat menjawab soalan ketika peperiksaan dan mendapat keputusan yang memberangsangkan. Tetapi pernahkah kita terfikir semasa menjawab peperiksaan tiba-tiba kita tidak dapat berfikir dengan baik dan hanya mampu merenung soalan peperiksaan di hadapan mata. Pada saat itu kepada siapakah kita mengharapkan tempat bergantung?
Jadi, seharusnya manusia meletakkan pengharapan yang agung hanyalah semata-mata kepada Allah. Dialah yang mengusai setiap perkara di alam ini.
- Cara-cara bergantung pada Allah : - bukan hanya terus berserah tanpa berusaha bersungguh-sungguh - berdoa dengan sepenuh hati mengharapkan sesuatu - taat segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya - hendaklah yakin dengan bantuan-Nya - tidak mengadu-domba kepada makhluk lain jika permintaan tidak dikabulkan. (hendaklah berbaik sangka dengan segala yang telah dikurniakan.)
- · Cara praktikal: - Perbanyakkan bacaan al-Quran - Perbanyakkan merenung dan berfikir tentang ciptaan Allah dan apa yang berlaku di sekeliling - Jauhi perkara lagho - Perbanyakkan zikir kepada Allah
Wallahua'lam...
No comments:
Post a Comment